Thursday, April 12, 2012

Travelog Jogja

Jaulah Ilmiah Jogjakarta-Jawa Tengah Pengalaman pertama kali pergi ke Negara Indonesia khususnya Jojakarta dan wilayah Jawa Tengah secara umumnya akan ku nukilkan dalam catatan ini. Disebut sebagai Travelog Jogjakarta. Tarikh: 30 Mac 2012(Jumaat) Masa: 9.00 pm.-11.00pm Berada di KL Sentral lebih kurang jam 9 malam, dengan membawa satu beg galas dan beg beroda sebagai ‘bekalan’ baju, alatan mandi(alat solek tiada) dan sebagainya, ketemu sama rakan-rakan lainnya di situ. Malam itu sempat untuk ku tukar duit di Maybank KL Sentral(Moneychanger). Nilai 3000 Rupiah kira-kira RM1. Pening dengan jumlah nilaian digit sifar yang banyak. Tak berkesempatan untuk tukar wang sebelum itu. Perlu berada awal di lapangan terbang kerana tiket penerbangan jam 7.00 pagi hari Sabtu. Jadi keputusannya memang perlu ke KL Sentral awal dan bertapa(mungkin tidur) di lapangan terbang. Akhirnya kami berenam; Aku, Aisyah, Famie, Kak Sirah, Kak Hamimah dan Abang Nizam, yang lainnya berangkat dengan kenderaan sendiri, berangkat pergi kearah tujuan kami, LCCT! Dalam jam 9.45 malam kami bergerak dengan menaiki bas Aerobus ke LCCT. Perjalanan memakan masa selama satu jam. Bukan menjadi masalah pada ku kerana sebelum ini pernah tidur di LCCT. Tapi memang agak membosankan kerana bukan tidur yang sempurna. Kami berenam ‘bertapa’ di cafeteria LCCT sambil menunggu rakan-rakan lain. Cuba juga tidur di surau tapi tak dapat tidur dengan ‘khusyuknya’. Bagi menghilangkan kebosanan ku cuba pusing-pusing keliling sekitar LCCT, berbual-bual, pejam celik-pejam celik sudah hampir waktu Subuh. Hari Pertama Tarikh: 31 Mac 2012(Sabtu) Masa: 5.00 am.-11.00pm 5.00 am. Jam menunjukkan 5.00 pagi dan kesemua kami seramai 16 orang bersama pensyarah pengiring kami, Prof Madya Dr. Khadijah Khambali atau lebih mesra dikenali sebagai Ummi telah tiba di LCCT dan menguruskan pendaftaran ‘check-in’ tiket. Rombongan kami di LCCT dianggotai seramai 16 orang iaitu Aku, Aisyah, Famie, Salam, Jamilah, Kak Sirah, Kak Hamimah, Kak Dina, Kak Norlida, Kak Suhaida, Abang Zaidi, Abang Nizam, Ummi, Baba Man suami kepada Ummi dan Tuan Haji Mohamad Nur sebagai ketua misi kembara kami. Setelah selesai urusan pendaftaran dan pemeriksaan pasport, kami pergi ke balai perlepasan dan sebelum itu solat Subuh terlebih dahulu di surau yang terletak berhampiran balai perlepasan. Jam menunjukkan 6.00 pagi. Selesai solat Subuh pergi menunggu dibalai perlepasa. Berdebar-debar pertama kali mahu naik kapalterbang ni! 6.45 a.m-9.30 a.m Kami dibenarkan untuk memasuki ruangan menuju kapal terbang yang bakal kami naiki. Agak jauh juga berjalan menuju ke kapal terbang, ku fikir agak kasihan jika orang tua atau yang sakit mahu ‘menapak’ sebegitu jauh. Walau bertaraf tambang murah tapi jangan sampai mengabaikan aspek kebajikan. Ya mungkin disebabkan faktor fizikal lapangan terbang yang memaksa untuk berjalan jauh. Agak hujung kapal terbang ‘parkir’. Waktu ketika itu hujan renyai-renyai. Pertama kali melangkah masuk kapal terbang, tidaklah sebesar mana, sebelum ini lihat di television, hari itu secara ‘live’ merasa sendiri masuk dalam kapal terbang. Rasa berdebar-debar pun ada, tapi tetap ‘control’ imej tenang. Jam 7.00 pagi mula kapal terbang mula bergerak dan kelihatan hujan masih lagi renyai-renyai. Setelah beberapa minit dalam keadaan bertali pinggang, maka kapal terbang dalam keadaan stabil maka kami dibolehkan bergerak bebas. Menu makan atas kapal terbang Nasi beriyani, sedap tapi tak minat, tapi habis juga sebab lapar. Apabila hampir tiba, keadaan cerah dan nampak daratan tanah Jawa, waktu Indonesia lambat satu jam dari waktu Malaysia, seterusnya catatan ini akan menggunapakai waktu Indonesia. 8.30 am (Jogjakarta) Sampai sudah di Lapangan Terbang Antarabangsa Adisutjipto, Jogjakarta(payah mau menyebutnya). Sampai sudah ke tanah Jawa(pulang ke tanah asal atau balik kampung kerana aku orang Jawa, saat ini aku teringat kata-kata Obama dalam bahasa Indonesia apabila beliau melawat Indonesia pada tahun 2010; “Pulang ke kampung”). Cuaca yang cerah dan agak terik. Lapangan terbang yang kecil. Penerbangan dari Malaysia hanya sekali pada jam 7.00 pagi waktu Malaysia oleh syarikat penerbangan Air Asia dari Kuala Lumpur ke Jogjakarta. Sempat lagi bergambar di lapangan terbang. Kenang-kenanganlah katakan. Selepas selesai pemeriksaan passport kami keluar dari lapangan terbang dan ketemu sama Pak Jubono atau Pak J, pemandu pelancong kami yang ‘sempoi’ dan mesra. Agak menarik dalam perjalanan keluar dari lapangan terbang kelihatan satu sudut dekat pintu keluar kelihatan arca kuda ada kepak dibuat dengan dawai dan satu lagi arca bentuk patung(bentuk apa entah). Unik dan kreatif. Adalah maksud disebalik arca tersebut, tapi tak dapat nak tafsir, tapi menggambarkan(sebenarnya tak tau nak kata apa). 10.30 a.m (Candi Prambanan) Dengan menaiki bas kami ke destinasi pertama iaitu Kompleks Candi Prambanan yang terletak kira-kira 15 kilometer dari lapangan terbang mengambil masa lebih kurang 15 minit. Tempat-tempat bersejarah dipanggil sebagai Perwisata. Turun saja dari bas maka kami ‘diserbu’ oleh segolongan peniaga cenderemata dan ole-ole. Ada juga yang menjual payung memandangkan cuaca yang agak terik. Jikalau kita layan mereka, maka kita akan ‘dibuntuti’, rasa tak selesa pun ada. Jikalau mahu beli mesti pandai tawar-menawar, kalau boleh separuh harga, sebab dinasihatkan begitu. Masuk perlu beli tiket di kaunter. Untuk pelajar berharga Rp 30,000 kalau tak silap(tak ingat aduhai). Rasa teruja menyelubungi diri ini untuk melihat candi, oleh sebab sebelum ini hanya meng’google’ dan meng’wikipedia’ di dalam internet mengenai candi ini Ketua penerangan atau ‘tour guide’ kami ialah Pak Selamat, yang ‘mengabdikan’ dan bekerja di kompleks perwisata selama 28 tahun. Agak lama, lebih lama sebelum ku dilahirkan(fuhh…). Kami dibawa di galeri tempat pengenalan awal mengenai kompleks candi tersebut. Untuk pengetahuan sedikit maklumat mengenai Candi Prambanan atau Candi Rara Jonggrang adalah kompleks candi Hindu terbesar di Indonesia yang dibina pada abad ke-9 masehi. Candi ini dipersembahkan untuk Trimurti iaitu konsep pegangan Hindu, tiga dewa utama Hindu iaitu Brahma sebagai dewa pencipta, Wishnu sebagai dewa pemelihara, dan Siva sebagai dewa pemusnah. Berdasarkan nama asli kompleks candi ini adalah Siwagrha (bahasa Sanskrit: Rumah Siwa), dan di garbagriha (ruang utama) candi ini bersemayam arca Siva, Mahadewa setinggi tiga meter yang menujukkan bahwa di candi ini dewa Siva lebih diutamakan. Candi ini adalah termasuk tempat Warisan Dunia UNESCO, candi Hindu terbesar di Indonesia, sekaligus salah satu candi terindah di Asia Tenggara. Bentuk bangunan ini berbentuk tinggi dan ramping sesuai dengan bentuk binaan bangunan Hindu. Candi Siva sebagai candi utama letak ditengah diapit dua candi dan ketinggiannya mencapai 47 meter(fuhh tinggi betul, kagum pada binaan tinggi yang menggunakan teknologi kuno). Inilah candi Hindu termegah di Asia Tenggara kalau nak tahu. Kami dibawa keliling oleh Pak Selamet dan beliau menceritakan kisah sejarah disebalik kompleks candi ini. Ada juga cerita mitos dan dongeng mengenai candi ini. Macam-macam... . Setelah hampir dua jam berkeliling candi tersebut, kami pulang, dalam perjalanan pulang mahu mencuba-cuba menaiki kenderaan yang boleh bawa kami pusing keliling, lama menunggu tapi tak bergerak juga disebabkan tempat duduk masih kosong, kami pun turun semula. Buang masa sungguh, tapi apakan daya, memang perlu penuhkan tempat duduk baru boleh bergerak. Dengan panas dan segala macam, berasa mahu marah pula dengan pemandunya. Disekitar jalan pulang ke Bas ada deretan kedai-kedai yang menjual cenderamata. Belum ada ‘mood’ mahu beli, tunggu datang ‘mood’. 12.30 p.m (Restoran Padang) Kami berkunjung ke sebuah restoran untuk makan tengahari, sebuah restoran masakan Padang iaitu restoran Rumah Makan Duta Minang. Pertama kali aku rasa masakan dan gaya Padang. Orang Minangkabau dekat Negeri Sembilan ada buat tak? Yang menariknya dihidang semua lauk. Pelayan akan membawa lauk dalam mangkuk secara bertingkat-tingkat dengan kuantiti yang banyak. Tak jatuh sebab dah professional tu. Ingatkan semua yang dihidang boleh dimakan, rupanya hanya lauk yang kita sentuh sahaja yang akan dikira sebagai bayaran. Begitu rupanya. Memang pelik bagi aku yang pertama kali makan macam ini. Pertama kali merasa masakan Indonesia disini(walhal kebanyakan kafe-kafe di Universiti Malaya tukang masaknya juga dari Indonesia) tak jauh beza dengan masakan melayu Malaysia. Cumanya ada beberapa lauk yang pelik sedikit, enak-enak belaka. Bukan setakat tiga atau empat lauk, tapi hampir sepuluh lauk bagi sekali hidangan. Di Indonesia minumannya terutama jus agak unik. Salah satunya yang terkenal ialah jus ‘avocado’, lain restoran sebut ‘alpukat’, campuran segala macam daun apa entah, tapi agak sedap. Disini jus buah-buahan memang pekat. Minuman panas pula diantaranya ialah teh tawar, agak pelik teh yang tidak ditambah gula menjadi minuman disini, sepertinya teh cina, mungkin ada khasiatnya. Kalau minta teh panas, nanti yang datangnya teh tawar, maka perlu disebut teh manis baru ada gula. Tapi teh susunya cair, orang utara sebut ‘ceroi’ tehnya, tak berapa ‘kaw’ berbanding teh susu di Malaysia, mungkin kerana di Malaysia ‘teh mamak’ maka hasilnya sebuah teh susu yang pekat dan sedap. Lain tempat lain rasa. 2.30 p.m (Candi Mendut, Magelang) Dalam perjalanan ke Candi Mendut, sepanjang perjalanan kelihatan bekas bencana letusan Gunung Merapi yang berlaku pada tahun 2010. Letusan yang memusnahkan rumah dan segala macam penempatan manusia dan alam, tapi sebenarnya hanya abu debu Gunung Merapi. Apa yang ku dapati ialah struktur tanah disini kelihatan kelabu gelap, mungkin komposisi tanah yang berasal dari gunung berapi dan lava. Sisa-sisa kemusnahan masih kelihatan. Ku dapati juga sungai-sungai disini agak dalam jurangnya. Dikatakan sungai menjadi aliran lava gunung berapi menjadi laluannya. Sampainya ke Candi Mendut, kelihatan dipagar. Candi ini adalah candi Buddha. Sedikit maklumat mengenai candi ini ialah dibina pada tahun 824 Masehi oleh Raja Indra dari dinasti Sailendra, iaitu dinasti Buddha. Tinggi candi 26.4 meter. Letak di tepi jalan dan agak berhampiran dengan Candi Borobudur. Disebelah candi ini adalah Vihara Buddha Mendut, iaitu sebuah pusat latihan Buddha. Dalam vihara ini terdapat asrama, rumah ibadah, taman, patung Buddha. Kelihatan juga pokok Bodhi. Menjadi kepercayaan spesis pokok ini yang menjadi tempat pertapaan Siddharta Gautama yang akhirnya mendapat pencerahan yang memungkin mencapai taraf Buddha. Taman yang cantik dengan beberapa tugu patung Buddha kelihatan, juga terdapat replika tiang Asoka, ditengah taman terdapat satu patung Buddha terbesar dan dipercayai didalamnya ada tulang lengan kiri Siddharta Gautama. Entah ya betul atau tidak, hanya tuhan yang tahu kebenarannya. Pada waktu tersebut para penghuninya yang terdiri dari penganut Buddha berbangsa Indonesia sedang mengikuti kelas pengajian, jadi tak dapat ketemu mereka. Tak dapat ku bayangkan orang Melayu Indonesia menganut ajaran Buddha, agak rupanya macamana ya? Yang menarik ada patung Buddha kurus-kering hingga nampak seperti tinggal tulang, aneh dan geli menengoknya. Kami pulang setelah tak Berjaya mendapatkan sami yang bertugas disitu, hanya sempat bersiar-siar sekitar tak lama. 5.00 p.m (Magelang) Kami pergi ke Magelang untuk menginap di sebuah hotel. Hotel kami berhadapan dengan pasaraya Carefour. Tak ku ingat nama hotel, tapi yang menjadi priority bagi daku ialah talian internet! Ada atau tidak WiFi? Rupanya tiada, harapan tinggal harapan, berat bawa ‘laptop’ dari Kuala Lumpur, tapi tak apalah. Bilik yang selesa dan luas. Sampai di bilik terus ku tidur. Kepala mula berdenyut-denyut, kurang minum air dan tak tidur mengakibatkan peningku datang. Cuba tidur tapi akhirnya dikejut pada waktu maghrib kerana kami akan dibawa makan malam disebuh restoran. Kepalaku berdenyut-denyut yang amat sangat. 7.00 p.m Kami sampai di restoran yang berhampiran dengan hotel, disini tempat makan kebanyakannya dinamakan warung lesehan. Restoran tempat kami makan ialah ‘Rumah Makan Dan Pondok Lesehan Selera Kuring’. Namanya pelik, selera kuring ku tak tahu apa maknanya. Kepala masih sakit berdenyut, selera kurang. Makanan yang agak istimewa, ikan Garupi(betul tak namanya?) sepsis ikan seperti tilapia, masaknya sedap. Ada juga yang minum jus Advocad. Masa makan disajikan dengan bunyian lagu-lagu bertema ‘soul’, jazz, penyanyi wanita dan pemain organ piano. Suara sedap tapi lirik ada tak hafal(gelak aku). Selesai makan pulang mencari kedai fotokopi. Tutup. Semua kedai tutup. Magelang pekannya malam cepat ‘mati’(mungkin). Bandar yang padat, rapat dan sesak. Sampai di hotel jam menunjukkan kira-kira 10.30 malam. Tiada aktiviti mahu dibuat dengan kepala masih sakit, buka-buka siaran television Indonesia, dapat pula tengok bola, kebetulan Liga Perdana Inggeris, kebetulan juga kelab sokonganku yang berlawan, Chelsea lawan Aston Villa, 4 berbalas 2 (nak gelak haha…). Cukup laporan hari pertama, selamat malam(tutup lampu, gelap, t.v terbuka…)

No comments:

Post a Comment